Isnin, 23 Mac 2015

Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor

Detik-detik penting Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bakal diabadikan dalam buku edisi mewah sebagai kenangan orang ramai terutamanya rakyat negeri Johor.

Pengarah Yayasan Warisan Johor Mohamad Radif Kosnin berkata buku terbitan khas itu bakal mengandungi penulisan, gambar dan peristiwa sepanjang Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim.

"Buku setebal 200 muka surat itu, dijangka siap sepenuhnya enam bulan selepas selesai keseluruhan istiadat tersebut," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mohamad Radif berkata menerusi buku berkenaan, orang ramai akan mendapat maklumat berkaitan sejarah Kesultanan Johor, pengasasan dan kelangsungannya, peralatan dan istiadat Diraja Johor serta tatacara Istiadat Siram Tabal.

Buku tersebut akan turut mengandungi dokumentasi berkaitan Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah serta perayaan-perayaan yang diadakan di setiap daerah di negeri ini bersempena Istiadat Kemahkotaan itu.

Segala persiapan berkaitan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden itu kini rancak dijalankan sekitar bandaraya Johor Baharu.

Peristiwa bersejarah itu bakal diadakan pada Isnin depan.

Istiadat Kemahkotaan telahpun bermula dengan Istiadat Meletak Kerja yang disempurnakan hari ini, disusuli dengan beberapa istiadat lain termasuk majlis tahlil dan doa kesyukuran serta istiadat Siram Tabal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan