Sabtu, 4 April 2015

Tip Elak 
Tersedak Susu

Tip elak 
tersedak susu :

    Tersedak susu berlaku apabila cecair yang dihisap bayi tidak masuk ke ruang esopagus untuk ke perut tetapi masuk melalui trakea ke paru-paru sekali gus mengganggu pernafasan bayi.
    Justeru, ibu bapa atau penjaga perlu memastikan risiko-risiko tersedak susu tidak berlaku dan ini antara tip-tipnya:
    Cari panduan menyusu dengan betul sama ada pemberian botol atau badan.
    Jangan beri susu ketika bayi sedang menangis sebaliknya tunggu bayi diam.
    Jika bayi menyusu botol, pastikan saiz puting yang digunakan sesuai.
    Pastikan bayi disusukan dengan kepalanya sedikit tinggi dan elakkan menyusu secara bayi berbaring terlentang.
    Sendawakan bayi.
    Jangan biarkan bayi menyusu sendirian jika menggunakan botol.
    Jika menyusu badan, pastikan ibu tidak tertidur dan membiarkan puting di dalam mulut bayi.
    Jika bayi sering tersedak susu, bayi perlu dibawa berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut.
    langkah yang perlu dilakukan jika bayi tersedak
    Letakkan anak meniarap pada lengan dengan tangan memberi sokongan kepada kepala bayi.
    Kepala anak diletakkan ke bawah daripada badan.
    Berikan lima tepukan kuat pada bayi di antara tulang belikat.
    Jika masih tidak dapat mengeluarkan objek, pusingkan bayi menelentang dan dengan menggunakan dua jari, tekan dada bayi sebanyak lima kali di antara puting bayi.
    Ulangi sehingga objek tersebut keluar.
    Jika masih tidak bermaya dan tidak bernafas, telefon untuk bantuan dan berikan juga bantu pernafasan melalui mulut kepada bayi.
    Selain tersedak, pernafasan bayi boleh terhenti jika meletakkan bayi ketika tidur secara salah.
    Cara meletakkan bayi ketika tidur sangat penting dan mempengaruhi sistem pernafasan mereka.
    Beberapa perkara dikenal pasti boleh menyebabkan bayi berhenti bernafas seperti tidur meniarap, tidur di atas permukaan terlalu lembut dan tidur dalam keadaan banyak selimut.
    Keadaan terlalu panas seperti dalam kenderaan tertutup atau bilik terkurung juga menjadi punca pernafasan bayi terganggu.
    Jika terdapat individu yang merokok di dalam rumah atau di sekeliling bayi, boleh menyebabkan pernafasan bayi terhenti kerana sesak nafas.

Sumber : Utusan Online

Sabtu, 28 Mac 2015

Elak Bayi, Kanak-Kanak Tersedak

Tercekik atau tersedak (choking) sering berlaku bukan sahaja kepada bayi dan kanak-kanak, malah kepada orang dewasa sehingga ada kalanya boleh membawa maut.

Beberapa kejadian akibat tersedak pernah berlaku di negara ini melibatkan bayi seawal usia tiga bulan yang lazimnya disebabkan oleh pemberian susu botol secara salah.

Lazimnya kita hanya mendengar kejadian tersedak susu, pun begitu

tersedak boleh berlaku jika terdapat benda asing sama ada dalam bentuk cecair seperti susu atau pepejal seperti alat permainan kecil yang tersekat di rongga pernafasan.

Akibat daripada benda asing itu, saluran nafas tersekat dan menyebabkan badan dan otak tidak memperoleh oksigen.

Menurut Konsultan dan Kardiologis Pediatrik Hospital Pakar KPJ Ampang, Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi, kejadian tersedak dalam kalangan bayi dan kanak-kanak sering berlaku terutama seawal usia enam bulan kerana ketika itu mereka melalui proses tumbesaran dan gemar memasukkan apa sahaja ke dalam mulut mereka termasuk bahan bukan makanan.

Katanya, kegagalan ibu bapa atau penjaga mengenal pasti punca-punca kejadian yang mendorong kepada kejadian tersedak antara faktor hal itu berlaku dengan mudah.

“Banyak faktor boleh mendorong kepada masalah tersedak ini, misalnya yang sering berlaku kepada bayi ialah tersedak susu kerana penyusuan melalui botol yang salah dan dibuat sambil lewa.

“Makanan yang kecil atau keras juga boleh menyebabkan bayi tercekik dan menutup ruang pernafasan mereka.

“Selain itu, permainan yang bersaiz kecil, butang baju, duit syiling, bateri dan sebagainya juga menjadi punca kanak-kanak tercekik jika ibu bapa atau penjaga mengambil mudah tentang keberadaan benda-benda itu di dalam rumah.

“Bayi dan kanak-kanak tidak boleh mengenal pasti sama ada bahan yang ditemui itu bahaya atau tidak, justeru, orang dewasa perlu meletakkan benda-benda seumpama itu di tempat yang sukar dicapai oleh mereka,” katanya.

Ujar Nomee Ashikin, dalam menguruskan bayi atau kanak-kanak tersedak, ibu bapa perlu segera bertindak jika melihat beberapa tanda yang berkemungkinan anak-anak mereka berhadapan dengan situasi berkenaan.

Beberapa tanda yang mudah dikenal pasti ialah apabila bayi menangis dan menunjukkan tanda-tanda refleks batuk seolah-olah mahu mengeluarkan sesuatu dan disusuli wajah bayi berubah menjadi warna kebiru-biruan.

“Selain itu, bayi mengalami sesak nafas apabila mereka bernafas dengan laju dan rusuknya kelihatan ke dalam dan mula tidak sedarkan diri.

“Ada kalanya, bunyi pernafasan yang dikeluarkan agak kasar dan ada bayi tidak boleh menangis atau tangisannya sangat lemah.

“Jika melihat tanda-tanda ini, ibu bapa perlu sedar bahawa anak mereka telah tersedak dan beberapa tindakan perlu dilakukan dengan segera,” ujarnya.

Sumber : Utusan Online

Rabu, 25 Mac 2015

Pelaksanaan Akta Pencegahan Keganasan Bukan Bermotifkan Politik

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan pelaksanaan Akta Pencegahan Keganasan, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat nanti, bukan bermotifkan politik.

Beliau berkata malah pengurusan pelaksanaan akta itu bukan diletakkan di bawah anggota-anggota pentadbiran tetapi diletakkan di bawah satu badan yang berwibawa.

Beliau menegaskan tujuan pelaksanaan itu adalah untuk mencegah sebarang elemen keganasan daripada merebak dan mengancam keselamatan negara.

"Prevention is better than cure (mencegah lebih baik daripada merawat) menjadi pegangan kerajaan terhadap mencegah ancaman keganasan.

"Sebelun berlaku keganasan kita mesti ambil tindakan dahulu mencegahnya kerana kesannya lebih buruk jika kita terlambat mengambil tindakan," katanya semasa merasmikan Hari Polis ke 208 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini.

Najib berkata terdapat pihak tertentu yang cuba memperkecilkan pelaksanaan undang-undang berkenaan dengan mendakwa ia bukan bersifat demokrasi dan menyekat kebebasan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada kebebasan mutlak boleh wujud dalam sebuah negara demokrasi terutamanya di negara ini.

Beliau berkata setiap rakyat tertakluk di bawah undang-undang negara bagi memastikan keamanan dan keselamatan sentiasa terpelihara.

Najib berkata pelaksanaan akta itu adalah rentetan usaha kerajaan dalam membanteras pengganas seperti IS dan pembentangan Kertas Putih di Parlimen tahun lepas.

Justeru itu, kerajaan berhasrat untuk mengekalkan dan akan memperkukuhkan Akta Hasutan bagi menjaga hubungan antara agama dan kaum di negara ini.

Najib berkata menangani pengganas menjadi antara empat cabaran yang perlu ditangani Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain menghadapi ledakan kritikan media sosial yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, pencerobohan terhadap negara seperti di Lahad Datu, Sabah pada 2013 dan mengurangkan indeks jenayah di dalam negara.

"PDRM mempunyai cara untuk berhadapan dengan cabaran ini secara versatil dan fleksibel," katanya.

Mengulas mengenai ledakan kritikan di media sosial, beliau berkata PDRM perlu menanganinya agar ia tidak memecahkan perpaduan yang wujud sekian lama antara kaum dan etnik di negara ini.

Mengenai Hari Polis ke-208, Najib berkata hari berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kerajaan dan rakyat terhadap sumbangan, pengorbanan dan komitmen pasukan itu menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

"Sesungguhnya amat sukar untuk membalas budi baik PDRM yang telah banyak menyumbang kepada keamanan negara dengan pelbagai peristiwa sejak zaman darurat sehingga peristiwa pencerobohan Lahad Datu," katanya.

Najib memberikan analogi kerusi dan meja terhadap sesebuah negara yang mampu berdiri teguh atas empat tapak yang kukuh iaitu kedudukan ekonomi yang kuat, kestabilan politik, ikatan perpaduan antara rakyat dan keselamatan serta keamanan.

"Daripada empat tapak itu, saya mengutamakan keselamatan dan keamanan kerana ia harus didahului," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyelar tindakan pihak tertentu yang mengkritik dan memandang rendah perkhidmatan polis dengan menyifatkan mereka sebagai tidak bertanggungjawab.

"Kerana polislah kita dapat hidup aman dan keselamatan kita terjaga di dalam negara ini," katanya.

Sumber : Bernama

Kampung Bangau-Bangau Berapi

Lebih 3,000 penduduk di kawasan setinggan Kampung Bangau-Bangau, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dianggarkan lebih 500 rumah terbakar dalam kejadian 2 pagi di perkampungan atas air itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.02 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

"Anggaran awal lebih 500 buah rumah musnah terbakar dan kebakaran kini dapat dikawal.

“Anggota bomba mengalami masalah bekalan air dan terpaksa menggunakan bot awam untuk mendapatkan air laut," katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Sumber : Harian Metro

Atlet Bola Tampar AS Pilihan Lana Nordin

Pelakon, Lana Nodin atau nama sebenarnya Mazlina Hadan Nodin, 36, akan bernikah dengan jejaka pilihannya, Daud David Mckienzie pada 15 Mei ini.

Menurutnya, dia mengenali jejaka yang merupakan atlet bola tampar Amerika Syarikat itu ketika berada di Singapura pada 26 Oktober tahun lalu.

“Waktu itu, ada majlis yang mengumpulkan atlet di seluruh dunia dan bermula daripada situ kami mula berkenalan secara rapat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.


Sumber : Utusan Online

Selasa, 24 Mac 2015

11 Sekolah Putrajaya Dipilih Sekolah Angkat (Sukan) UMNO Putrajaya

Biro Sukan UMNO Bahagian Putrajaya memilih 11 buah sekolah di sini untuk Program Sekolah Angkat (Sukan) 2013-2016 bagi mencungkil bakat sukan dalam kalangan pelajar sekolah.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ketua UMNO Putrajaya berkata 10 buah sekolah menengah harian dan sebuah sekolah berasrama dipilih menurut disiplin sukan yang ditetapkan iaitu bola jaring, bola sepak, badminton, ping pong, bola keranjang, bola tampar, bina badan, hoki, sepak takraw, bola baling dan ragbi.

Pada majlis perasmian Program Sekolah Angkat (Sukan) di SMK Putrajaya Presint 14 (1) di sini Selasa, Tengku Adnan yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan berkata setiap sekolah akan diberi bantuan dari segi penyelenggaraan tempat, gelanggang, padang, dewan dan gimnasium.

Beliau berkata sebanyak lima padang, tiga dewan, satu gelanggang bola keranjang dan bola tampar serta satu gimnasium akan dinaik taraf bagi tujuan itu, melibatkan peruntukan kira-kira RM20,000 bagi setiap sekolah.

"Selain itu, bantuan berbentuk peralatan sukan, air mineral, modul dan klinik sukan akan diselaraskan oleh pihak Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan diberi kepada setiap sekolah terlibat," katanya.

"Keseluruhan peruntukan bagi program Sekolah Angkat (Sukan) ini dianggarkan kira-kira RM220,000," katanya lagi.

Tengku Adnan yang merupakan Anggota Parlimen Putrajaya berharap program itu dapat melahirkan atlet Putrajaya yang dapat memberi saingan mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya dalam bidang sukan di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.

Sumber : Bernama

Isnin, 23 Mac 2015

Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor

Detik-detik penting Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bakal diabadikan dalam buku edisi mewah sebagai kenangan orang ramai terutamanya rakyat negeri Johor.

Pengarah Yayasan Warisan Johor Mohamad Radif Kosnin berkata buku terbitan khas itu bakal mengandungi penulisan, gambar dan peristiwa sepanjang Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim.

"Buku setebal 200 muka surat itu, dijangka siap sepenuhnya enam bulan selepas selesai keseluruhan istiadat tersebut," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mohamad Radif berkata menerusi buku berkenaan, orang ramai akan mendapat maklumat berkaitan sejarah Kesultanan Johor, pengasasan dan kelangsungannya, peralatan dan istiadat Diraja Johor serta tatacara Istiadat Siram Tabal.

Buku tersebut akan turut mengandungi dokumentasi berkaitan Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah serta perayaan-perayaan yang diadakan di setiap daerah di negeri ini bersempena Istiadat Kemahkotaan itu.

Segala persiapan berkaitan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden itu kini rancak dijalankan sekitar bandaraya Johor Baharu.

Peristiwa bersejarah itu bakal diadakan pada Isnin depan.

Istiadat Kemahkotaan telahpun bermula dengan Istiadat Meletak Kerja yang disempurnakan hari ini, disusuli dengan beberapa istiadat lain termasuk majlis tahlil dan doa kesyukuran serta istiadat Siram Tabal.

Sabtu, 21 Mac 2015

Satu Sudu Teh Garam Sehari

Kicap soya, nasi goreng, nasi lemak, bihun goreng, bihun sup, roti canai, sup campur, sos tiram, sos ikan bilis serta sos tomato dan sos cili merupakan 10 bahan makanan yang mengandungi jumlah garam yang sangat tinggi iaitu sekitar 73 miligram sehingga lebih 507 miligram untuk setiap hidangan.

Sedarkah anda, kesemua jenis makanan itu merupakan makanan ‘wajib’ yang dinikmati rakyat Malaysia bukan sahaja sekali sebulan, malah setiap hari.

Bayangkan berapa jumlah garam terkumpul di dalam badan kita setiap hari sedangkan untuk sihat, manusia hanya memerlukan kurang 2,000 miligram garam sehari atau bersamaan dengan satu sudu teh.

Kajian yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan menunjukkan penduduk di negara ini mengambil 8.7 gram garam sehari berbanding yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu hanya lima gram.

Malah lebih membimbangkan, bayi seawal enam bulan juga telah diperkenalkan garam dalam makanan pertama mereka kerana segelintir ibu gemar memasukkan secubit garam ke dalam masakan bayi bagi memberi ‘rasa’ terhadap makanan itu terutama untuk hidangan bubur nasi.

Ini membuktikan, penggunaan garam tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat di negara ini walaupun bahan berkenaan merupakan punca utama kepada empat penyakit tidak berjangkit utama (NCD) iaitu diabetes, kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik dan kanser.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Feisul Idzwan Mustapha memberitahu, persekitaran dan gaya hidup rakyat di negara ini yang dihidangkan dengan pelbagai pilihan makanan menjadikan faktor garam diambil secara berlebihan.

“Sajian masyarakat di negara ini mempunyai variasi rasa daripada gulai lemak, kari, sup, gorengan, kukus dan rebus. Oleh itu, penggunaan garam juga dinikmati pada tahap yang berbeza pada setiap masakan dan sudah semestinya mereka berpendapat masakan itu tidak akan sedap jika penggunaan garam sedikit.

“Namun, mereka tidak sedar bahawa jika mereka bijak menggunakan bahan-bahan masakan di sekeliling, garam tidak perlu digunakan dengan banyak untuk menjadikan masakan tersebut enak,” katanya pada Seminar Kesedaran Garam di Institut Pengurusan Kesihatan, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu katanya, sikap masyarakat yang gemar makan di luar misalnya di gerai mahupun di restoran menyebabkan penggunaan garam sukar dikawal terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Jelasnya, ibu bapa sering menjadikan aktiviti makan di luar sebagai aktiviti wajib apatah lagi bagi mereka yang sibuk bekerja seharian.

Dalam soal ini, ibu bapa jarang mementingkan kesihatan anak-anak kerana lazimnya makanan yang dihidangkan di restoran mempunyai kandungan garam atau sodium yang sangat tinggi tanpa disedari oleh mereka.

Tambah beliau, kekerapan makan di luar menjadi satu sebab deria rasa kanak-kanak mula bertukar apabila merasakan makanan yang dimasak di rumah tidak sedap apabila penggunaan garam dikurangkan.

“Aktiviti makan di luar tidak dapat dielakkan kerana pelbagai sebab. Namun, bagi mengelakkan penggunaan garam secara berlebihan, kita boleh tukang masak mengurangkan garam dalam masakan yang dipesan.

“Itu sahaja cara yang boleh diamalkan kerana anak-anak akan mencontohi ibu bapa mereka dan jika ibu bapa tidak memulakan agak sukar untuk anak-anak melakukannya,” ujarnya.

Apa yang membimbangkan, ujar Dr. Feisul Idzwan, menurut data WHO, kebarangkalian individu yang meninggal dunia berusia antara 30 tahun hingga 70 tahun melibatkan empat penyakit berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCD) adalah kira-kira 20 peratus, manakala tekanan darah tinggi merupakan faktor paling utama menyumbang kepada kematian pramatang (usia lebih muda).

“Malah, 32.8 peratus orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di negara ini juga dikenal pasti menghidap tekanan darah tinggi dan peratusan itu semakin meningkat setiap tahun.

“Oleh itu, kita menyasarkan penurunan sehingga 15 peratus kematian pramatang yang melibatkan penyakit NCD menjelang 2025 melalui kempen pengurangan garam yang diadakan setiap tahun,” jelasnya.

Baca label pada bungkusan

Pakar Dietetik Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Viola Michael mengingatkan, setiap individu bertanggungjawab terhadap diri sendiri bagi mengurangkan pengambilan garam setiap hari.

Jelasnya, pelbagai cara boleh diamalkan bagi membolehkan penggunaan garam dikurangkan terutama di dalam masakan ketika di rumah.

“Garam dan penambah perasa hanyalah sejenis bahan tambahan untuk memberi rasa kepada masakan, namun penggunaannya boleh diganti dengan perisa semula jadi seperti rempah-ratus dan herba-herba.

“Para ibu boleh mengurangkan garam dan melebihkan bahan-bahan lain seperti halia, cili, bawang, kunyit, lengkuas, kayu manis, asam keping dan jintan manis bagi menyedapkan rasa.

“Jika mahu membuat sambal belacan, penggunaan belacan yang mempunyai kandungan garam yang sangat tinggi itu boleh dikurangkan dan diganti dengan bahan-bahan segar lain agar rasa sambal berkenaan mempunyai rasa yang seakan-akan sama, namun kandungannya lebih menyihatkan.

“Penggunaan sos cili dan sos tomato juga tidak digalakkan dan sebaiknya menggunakan cili atau tomato yang segar selain mengurangkan penggunaan makanan di dalam tin dan diawet seperti sardin, sapuan roti, kekacang dan pelbagai jenis sup dan kuah siap sedia dimakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Viola turut mengingatkan agar pengguna membaca label pada setiap bahan makanan yang dibeli terutama yang dipaparkan pada tin atau botol bagi memastikan penggunaan garam dapat dikurangkan.

Sikap masyarakat yang mengambil mudah terhadap penggunaan garam dalam pemakanan harian mereka menjadi faktor utama garam dianggap ‘pembunuh’ utama rakyat di negara ini, sedangkan jelas Viola, garam juga mempunyai kebaikan tersendiri kepada tubuh badan manusia.

“Garam atau sodium memainkan peranan sebagai cecair dan mengekalkan tahap asid di dalam tubuh badan yang juga mampu membantu mengawal tekanan darah dan merangsang fungsi otot dan saraf. Kekurangan garam juga boleh mengundang maut,” katanya.

Amalan pemakanan kurang garam

1) Ketahuilah kandungan garam pada label makanan.
2) Pilihlah produk makanan yang dilabel “dikurangkan garam”, “rendah garam”, ”sangat rendah garam” atau “bebas garam”.
3) Elakkan produk makanan yang mempunyai garam atau sodium tersenarai di bahagian awal senarai ramuan.
4) Hadkan makanan yang tinggi kandungan garam seperti ikan masin, makanan yang diproses dan makanan segera.
5) Kurangkan garam, sos, kicap atau kiub perisa dalam makanan.
6) Gunakanlah rempah ratus untuk mengurangkan garam dalam masakan.
7) Mintalah makanan kurang masin ketika memesan makanan.

Sumber : Utusan Online