Selasa, 24 Mac 2015

11 Sekolah Putrajaya Dipilih Sekolah Angkat (Sukan) UMNO Putrajaya

Biro Sukan UMNO Bahagian Putrajaya memilih 11 buah sekolah di sini untuk Program Sekolah Angkat (Sukan) 2013-2016 bagi mencungkil bakat sukan dalam kalangan pelajar sekolah.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ketua UMNO Putrajaya berkata 10 buah sekolah menengah harian dan sebuah sekolah berasrama dipilih menurut disiplin sukan yang ditetapkan iaitu bola jaring, bola sepak, badminton, ping pong, bola keranjang, bola tampar, bina badan, hoki, sepak takraw, bola baling dan ragbi.

Pada majlis perasmian Program Sekolah Angkat (Sukan) di SMK Putrajaya Presint 14 (1) di sini Selasa, Tengku Adnan yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan berkata setiap sekolah akan diberi bantuan dari segi penyelenggaraan tempat, gelanggang, padang, dewan dan gimnasium.

Beliau berkata sebanyak lima padang, tiga dewan, satu gelanggang bola keranjang dan bola tampar serta satu gimnasium akan dinaik taraf bagi tujuan itu, melibatkan peruntukan kira-kira RM20,000 bagi setiap sekolah.

"Selain itu, bantuan berbentuk peralatan sukan, air mineral, modul dan klinik sukan akan diselaraskan oleh pihak Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan diberi kepada setiap sekolah terlibat," katanya.

"Keseluruhan peruntukan bagi program Sekolah Angkat (Sukan) ini dianggarkan kira-kira RM220,000," katanya lagi.

Tengku Adnan yang merupakan Anggota Parlimen Putrajaya berharap program itu dapat melahirkan atlet Putrajaya yang dapat memberi saingan mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya dalam bidang sukan di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.

Sumber : Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan