Sabtu, 21 Mac 2015

Satu Sudu Teh Garam Sehari

Kicap soya, nasi goreng, nasi lemak, bihun goreng, bihun sup, roti canai, sup campur, sos tiram, sos ikan bilis serta sos tomato dan sos cili merupakan 10 bahan makanan yang mengandungi jumlah garam yang sangat tinggi iaitu sekitar 73 miligram sehingga lebih 507 miligram untuk setiap hidangan.

Sedarkah anda, kesemua jenis makanan itu merupakan makanan ‘wajib’ yang dinikmati rakyat Malaysia bukan sahaja sekali sebulan, malah setiap hari.

Bayangkan berapa jumlah garam terkumpul di dalam badan kita setiap hari sedangkan untuk sihat, manusia hanya memerlukan kurang 2,000 miligram garam sehari atau bersamaan dengan satu sudu teh.

Kajian yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan menunjukkan penduduk di negara ini mengambil 8.7 gram garam sehari berbanding yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu hanya lima gram.

Malah lebih membimbangkan, bayi seawal enam bulan juga telah diperkenalkan garam dalam makanan pertama mereka kerana segelintir ibu gemar memasukkan secubit garam ke dalam masakan bayi bagi memberi ‘rasa’ terhadap makanan itu terutama untuk hidangan bubur nasi.

Ini membuktikan, penggunaan garam tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat di negara ini walaupun bahan berkenaan merupakan punca utama kepada empat penyakit tidak berjangkit utama (NCD) iaitu diabetes, kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik dan kanser.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Feisul Idzwan Mustapha memberitahu, persekitaran dan gaya hidup rakyat di negara ini yang dihidangkan dengan pelbagai pilihan makanan menjadikan faktor garam diambil secara berlebihan.

“Sajian masyarakat di negara ini mempunyai variasi rasa daripada gulai lemak, kari, sup, gorengan, kukus dan rebus. Oleh itu, penggunaan garam juga dinikmati pada tahap yang berbeza pada setiap masakan dan sudah semestinya mereka berpendapat masakan itu tidak akan sedap jika penggunaan garam sedikit.

“Namun, mereka tidak sedar bahawa jika mereka bijak menggunakan bahan-bahan masakan di sekeliling, garam tidak perlu digunakan dengan banyak untuk menjadikan masakan tersebut enak,” katanya pada Seminar Kesedaran Garam di Institut Pengurusan Kesihatan, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu katanya, sikap masyarakat yang gemar makan di luar misalnya di gerai mahupun di restoran menyebabkan penggunaan garam sukar dikawal terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Jelasnya, ibu bapa sering menjadikan aktiviti makan di luar sebagai aktiviti wajib apatah lagi bagi mereka yang sibuk bekerja seharian.

Dalam soal ini, ibu bapa jarang mementingkan kesihatan anak-anak kerana lazimnya makanan yang dihidangkan di restoran mempunyai kandungan garam atau sodium yang sangat tinggi tanpa disedari oleh mereka.

Tambah beliau, kekerapan makan di luar menjadi satu sebab deria rasa kanak-kanak mula bertukar apabila merasakan makanan yang dimasak di rumah tidak sedap apabila penggunaan garam dikurangkan.

“Aktiviti makan di luar tidak dapat dielakkan kerana pelbagai sebab. Namun, bagi mengelakkan penggunaan garam secara berlebihan, kita boleh tukang masak mengurangkan garam dalam masakan yang dipesan.

“Itu sahaja cara yang boleh diamalkan kerana anak-anak akan mencontohi ibu bapa mereka dan jika ibu bapa tidak memulakan agak sukar untuk anak-anak melakukannya,” ujarnya.

Apa yang membimbangkan, ujar Dr. Feisul Idzwan, menurut data WHO, kebarangkalian individu yang meninggal dunia berusia antara 30 tahun hingga 70 tahun melibatkan empat penyakit berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCD) adalah kira-kira 20 peratus, manakala tekanan darah tinggi merupakan faktor paling utama menyumbang kepada kematian pramatang (usia lebih muda).

“Malah, 32.8 peratus orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di negara ini juga dikenal pasti menghidap tekanan darah tinggi dan peratusan itu semakin meningkat setiap tahun.

“Oleh itu, kita menyasarkan penurunan sehingga 15 peratus kematian pramatang yang melibatkan penyakit NCD menjelang 2025 melalui kempen pengurangan garam yang diadakan setiap tahun,” jelasnya.

Baca label pada bungkusan

Pakar Dietetik Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Viola Michael mengingatkan, setiap individu bertanggungjawab terhadap diri sendiri bagi mengurangkan pengambilan garam setiap hari.

Jelasnya, pelbagai cara boleh diamalkan bagi membolehkan penggunaan garam dikurangkan terutama di dalam masakan ketika di rumah.

“Garam dan penambah perasa hanyalah sejenis bahan tambahan untuk memberi rasa kepada masakan, namun penggunaannya boleh diganti dengan perisa semula jadi seperti rempah-ratus dan herba-herba.

“Para ibu boleh mengurangkan garam dan melebihkan bahan-bahan lain seperti halia, cili, bawang, kunyit, lengkuas, kayu manis, asam keping dan jintan manis bagi menyedapkan rasa.

“Jika mahu membuat sambal belacan, penggunaan belacan yang mempunyai kandungan garam yang sangat tinggi itu boleh dikurangkan dan diganti dengan bahan-bahan segar lain agar rasa sambal berkenaan mempunyai rasa yang seakan-akan sama, namun kandungannya lebih menyihatkan.

“Penggunaan sos cili dan sos tomato juga tidak digalakkan dan sebaiknya menggunakan cili atau tomato yang segar selain mengurangkan penggunaan makanan di dalam tin dan diawet seperti sardin, sapuan roti, kekacang dan pelbagai jenis sup dan kuah siap sedia dimakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Viola turut mengingatkan agar pengguna membaca label pada setiap bahan makanan yang dibeli terutama yang dipaparkan pada tin atau botol bagi memastikan penggunaan garam dapat dikurangkan.

Sikap masyarakat yang mengambil mudah terhadap penggunaan garam dalam pemakanan harian mereka menjadi faktor utama garam dianggap ‘pembunuh’ utama rakyat di negara ini, sedangkan jelas Viola, garam juga mempunyai kebaikan tersendiri kepada tubuh badan manusia.

“Garam atau sodium memainkan peranan sebagai cecair dan mengekalkan tahap asid di dalam tubuh badan yang juga mampu membantu mengawal tekanan darah dan merangsang fungsi otot dan saraf. Kekurangan garam juga boleh mengundang maut,” katanya.

Amalan pemakanan kurang garam

1) Ketahuilah kandungan garam pada label makanan.
2) Pilihlah produk makanan yang dilabel “dikurangkan garam”, “rendah garam”, ”sangat rendah garam” atau “bebas garam”.
3) Elakkan produk makanan yang mempunyai garam atau sodium tersenarai di bahagian awal senarai ramuan.
4) Hadkan makanan yang tinggi kandungan garam seperti ikan masin, makanan yang diproses dan makanan segera.
5) Kurangkan garam, sos, kicap atau kiub perisa dalam makanan.
6) Gunakanlah rempah ratus untuk mengurangkan garam dalam masakan.
7) Mintalah makanan kurang masin ketika memesan makanan.

Sumber : Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan