Khamis, 19 Mac 2015

Piala AFC 2015 : Pahang Kecundang di Kuantan

Kemerosotan prestasi masih menghantui Pahang dan bermain di hadapan penyokong sendiri belum cukup untuk mereka bangkit apabila tumpas 1-0 kepada South China dalam perlawanan peringkat Kumpulan G, Piala AFC di sini semalam.

Pahang, yang kalah kepada ATM dalam perlawanan Liga Super pada Sabtu lalu, dibolosi seawal minit ke-12 menerusi percubaan Chan Siu Ki.

Percubaan jurulatih Zainal Abidin Hassan membawa masuk beberapa pemain muda untuk menyuntik tenaga kepada skuadnya, yang berdepan dengan krisis kecederaan, juga tidak membuahkan hasil.

Tuan rumah bagaimanapun hampir mendahului seawal minit kelapan apabila sepakan bebas pemain tengah Azidan Sarudin ditepis keluar penjaga gol Mora Medrano.

Empat minit kemudian, penyokong Tok Gajah di Stadium Darul Makmur tergamam apabila tendangan Siu Ki dari luar kotak penalti gagal ditepis keluar penjaga gol Khairul Azhan Mohd. Khalid untuk meletakkan kelab dari Hong Kong itu di depan.

Pada minit ke-37, R. Surendran mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan selepas mendapat hantaran daripada R. Gopinathan namun rembatannya tersasar.

Ketiadaan Dickson Nwakaeme, Matias Conti dan Fauzi Roslan jelas dirasai apabila barisan serangan Tok Gajah yang diketuai Mohd. Rizua Shafiqi Kamaruzaman dan Azidan Sarudin gagal memanfaatkan peluang-peluang keemasan untuk menghasilkan jaringan.

Tok Gajah terus menampilkan corak permainan lebih bertenaga selepas rehat dan berjaya melakukan gerakan menarik untuk menembusi pertahanan lawan namun dikecewakan oleh gerakan penyudah hingga tamat permainan.

Kekalahan ini menyaksikan South China terus menerajui Kumpulan G, manakala Pahang di kedudukan kedua dengan empat mata.

Sumber : Utusan Onlline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan