Sabtu, 28 Mac 2015

Elak Bayi, Kanak-Kanak Tersedak

Tercekik atau tersedak (choking) sering berlaku bukan sahaja kepada bayi dan kanak-kanak, malah kepada orang dewasa sehingga ada kalanya boleh membawa maut.

Beberapa kejadian akibat tersedak pernah berlaku di negara ini melibatkan bayi seawal usia tiga bulan yang lazimnya disebabkan oleh pemberian susu botol secara salah.

Lazimnya kita hanya mendengar kejadian tersedak susu, pun begitu

tersedak boleh berlaku jika terdapat benda asing sama ada dalam bentuk cecair seperti susu atau pepejal seperti alat permainan kecil yang tersekat di rongga pernafasan.

Akibat daripada benda asing itu, saluran nafas tersekat dan menyebabkan badan dan otak tidak memperoleh oksigen.

Menurut Konsultan dan Kardiologis Pediatrik Hospital Pakar KPJ Ampang, Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi, kejadian tersedak dalam kalangan bayi dan kanak-kanak sering berlaku terutama seawal usia enam bulan kerana ketika itu mereka melalui proses tumbesaran dan gemar memasukkan apa sahaja ke dalam mulut mereka termasuk bahan bukan makanan.

Katanya, kegagalan ibu bapa atau penjaga mengenal pasti punca-punca kejadian yang mendorong kepada kejadian tersedak antara faktor hal itu berlaku dengan mudah.

“Banyak faktor boleh mendorong kepada masalah tersedak ini, misalnya yang sering berlaku kepada bayi ialah tersedak susu kerana penyusuan melalui botol yang salah dan dibuat sambil lewa.

“Makanan yang kecil atau keras juga boleh menyebabkan bayi tercekik dan menutup ruang pernafasan mereka.

“Selain itu, permainan yang bersaiz kecil, butang baju, duit syiling, bateri dan sebagainya juga menjadi punca kanak-kanak tercekik jika ibu bapa atau penjaga mengambil mudah tentang keberadaan benda-benda itu di dalam rumah.

“Bayi dan kanak-kanak tidak boleh mengenal pasti sama ada bahan yang ditemui itu bahaya atau tidak, justeru, orang dewasa perlu meletakkan benda-benda seumpama itu di tempat yang sukar dicapai oleh mereka,” katanya.

Ujar Nomee Ashikin, dalam menguruskan bayi atau kanak-kanak tersedak, ibu bapa perlu segera bertindak jika melihat beberapa tanda yang berkemungkinan anak-anak mereka berhadapan dengan situasi berkenaan.

Beberapa tanda yang mudah dikenal pasti ialah apabila bayi menangis dan menunjukkan tanda-tanda refleks batuk seolah-olah mahu mengeluarkan sesuatu dan disusuli wajah bayi berubah menjadi warna kebiru-biruan.

“Selain itu, bayi mengalami sesak nafas apabila mereka bernafas dengan laju dan rusuknya kelihatan ke dalam dan mula tidak sedarkan diri.

“Ada kalanya, bunyi pernafasan yang dikeluarkan agak kasar dan ada bayi tidak boleh menangis atau tangisannya sangat lemah.

“Jika melihat tanda-tanda ini, ibu bapa perlu sedar bahawa anak mereka telah tersedak dan beberapa tindakan perlu dilakukan dengan segera,” ujarnya.

Sumber : Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Komen